Puasa Untuk Perkasa

Sunday, August 30, 2009



PENYERANG berbisa Mali, Frederic Kanoute yang beraksi di Liga Primera Sepanyol, bukan saja bersemangat menghayati Ramadan tapi juga melihat ibadat puasa sebagai elemen yang mampu memperkasakannya daripada aspek fizikal dan rohani.

“Saya menghormati agama saya dan cuba sedaya-upaya mematuhinya,” katanya.

“Terdapat ramai pemain bola sepak Muslim di England, Sepanyol, Perancis dan liga-liga lain, tapi berpuasa bukanlah satu perkara yang mereka hendak hebohkan kepada dunia.”

Pemain kelab Seville berusia 32 tahun itu menegaskan, berpuasa tidak pernah menimbulkan masalah antaranya dengan kelab dan peminat.

“Semua orang di sini melayan saya dengan baik dan mereka amat memahami apa yang saya lalui,” kata Kanoute, kelahiran Perancis-Mali.

“Sepanjang Ramadan, saya seperti biasa memberikan segalanya kepada kelab dan cuba untuk tidak menghampakan rakan sepasukan dan peminat.”

Kanoute, terkenal dengan kepantasan, kuat dan memiliki teknik tinggi, membantu Seville layak ke Piala Uefa tahun lalu dan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Dia juga dipilih Pemain Terbaik Afrika 2007, pemain lahir di luar bumi Afrika pertama memenangi anugerah itu.

Menurutnya, mematuhi tuntutan agama menjadikannya lebih kuat dan baik.

“Secara peribadi, kepercayaan saya terhadap Islam membantu kerjaya bola sepak saya dan bola sepak pula membantu saya menjadi lebih sihat serta memperkasakan saya.

“Tiada konflik kerana semua orang tahu mengenai Islam, mereka tahu puasa memperkasakan dan bukannya melemahkan masyarakat Muslim.”

Doktor Yacine Zerguni, ahli Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan CAF (Persekutuan Bola Sepak Afrika), setuju dengan pandangan itu.

Zerguni bekerjasama dengan F-marc, Pusat Penilaian dan Kajian FIFA, yang mengkaji kesan Ramadan.

“Ramadan, bulan yang membentuk disiplin fizikal dan mental, juga bebas daripada sikap tidak sihat dan agresif,” katanya kepada Goal.com apabila ditanya sama ada puasa sesuai untuk bola sepak peringkat tinggi.

“Ramadan jauh daripada memberikan sebarang kesan kerosakan.”

Kanoute sentiasa menjaga sembahyangnya, malah kerap menyempurnakan ibadat itu di bilik persalinan pasukan.

Tahun lalu, dia enggan memakai jersi yang mempunyai iklan laman web perjudian kerana judi diharamkan Islam.

Pada 2007, dia menyelamatkan sesatunya masjid di Seville daripada ditutup.

Kanoute membayar 510,860 euro (RM2.55 juta) bagi memastikan masyarakat Islam di Seville tidak kehilangan masjid itu.

Dia juga menubuhkan yayasan di Mali khusus bagi membantu anak yatim.


Diubahsuai daripada SUFIAN THAURI MUHAMMED, 2009. Puasa Untuk Perkasa, Harian Metro, 30/8/2009, http://www.hmetro.com.my.

0 comments:

There was an error in this gadget