"Safari Rakit" Balleh-Kapit 2009

Saturday, August 8, 2009

Kapit, 9/8/2009, Ahad; Satu pertandingan bot laju dan rakit telah diadakan di Kapit yang bermula seawal 7.00 pagi hingga 6.00 petang. Kejohanan yang dinamakan "Safari Rakit Balleh- Kapit" itu merupakan acara tahunan yang biasa dianjurkan pada setiap tahun oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB). Sebagai permulaan, kejohanan dimulakan dengan pertandingan Bot laju pada waktu pagi dan pertandingan rakit diadakan pada waktu petang. Dari segi penyertaan, dianggarkan terdapat lebih daripada 20 bot laju yang menyertai pertandingan pada tahun ini. Manakala, bilangan penyertaan daripada peserta rakit turut melibatkan jumlah yang hampir sama.(gambar bawah; Kain rentang kejohanan & video bot laju)





Selain pertandingan bot laju dan rakit, terdapat juga program-program sampingan yang turut diadakan di sepanjang kawasan waf (jeti) Kapit. Antara program tersebut termasuklah pertandingan masakan dan menghias buah yang disertai oleh 20 peserta dari bahagian Kapit dan Balleh. Jenis masakan dan hiasan buah disediakan mengikut kreativiti peserta yang rata-ratanya mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyediaan masakan iaitu sekitar 10 hingga 20 tahun. Bagi pemilihan pemenang, pertandingan tersebut diadili oleh pengadil pakar masakan dari negeri Sarawak sendiri.(Lihat foto bawah)





Manakala, Fort Sylvia yang merupakan sebuah bangunan pelabuhan Kapit satu ketika dahulu dan kini menjadi sebuah muzium, turut dibuka kepada orang ramai. Di dalamnya, terdapat pelbagai jualan barangan kraftangan serta kain alas buatan penduduk-penduduk Kapit. Teknik penghasilan kain alas turut disajikan untuk tatapan orang ramai. Selain itu, bagi memeriahkan suasana di Fort Sylvia , 2 orang pemuzik turut mempersembahkan mainan alat muzik mereka.(lihat foto bawah)




Di samping itu, terdapat juga kumpulan tarian iban yang terdiri daripada hampir 10 orang penari mempersembahkan tarian mereka pada sebelah petang. Penari-penari terdiri dari warga kapit sendiri yang menggayakan pakaian tradisional masyarakat Iban.(Lihat foto di bawah)





Di sekitar kawasan waf juga turut dibuka gerai-gerai jualan makanan dan minuman bagi pengunjung-pengunjung yang datang menyaksikan pertandingan Bot laju dan rakit tersebut. berdasarkan pemerhatian penulis, Kejohanan safari rakit pada kali ini dilihat amat meriah berdasarkan pelbagai program yang dianjurkan serta jumlah kehadiran penonton yang datang terutamanya untuk menyaksikan pertandingan bot laju. justeru, diharapkan program ini dapat diteruskan seperti biasa untuk tahun-tahun mendatang.Sekian.

0 comments: